Hikmah Perkahwinan

ring-260892_1280

PERKAHWINAN adalah sebahagian daripada liku-liku kehidupan yang dilalui oleh kebanyakan umat manusia. Ia adalah proses semulajadi yang diaturkan oleh Allah s.w.t. mengikut sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu berkehendakkan kepada pasangan hidup.

Bermula dengan perkahwinan Nabi Adam a.s. dengan Siti Hawa, maka zuriat manusia berkembang biak melalui perkahwinan. Biarpun hukum-hukum perkahwinan berubah dari keturunan terawal itu sehingga kepada syariat Islam yang diturunkan kepada umat Muhammad s.a.w., namun perkahwinan tetap mempunyai hikmah yang cukup besar, yang memberi manfaat kepada kehidupan manusia sendiri. Apakah hikmah Allah mensyariatkan perkahwinan?

1 Sunnah para Nabi dan Rasul

Firman Allah yang bermaksud: “Demi sesungguhnnya Kami (Allah) telah mengutus Rasul sebelum kamu dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan juga keturunan.” (Al-Ra’d: 38)

Allah mengutus para nabi dan rasul sebagai pemimpin umat manusia ke jalan kebenaran. Mereka adalah model yang mesti diikuti demi keamanan, kebahagiaan dan kedamaian dalam kehidupan. Dengan mencontohi sunnah rasul yakni membina  keluarga melalui perkahwinan, kita akan memperolehi kebaikan dan keselamatan yang berpanjangan bukan sahaja di dunia, malah akan berlanjutan di akhirat.

Rasulullah amat menggalakkan umatnya supaya berkahwin. Daripada Aisyah r.a. berkata, bersabda Nabi s.a.w.: “Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku maka bukanlah dia daripada golongan umatku.” (Riwayat Ibn Majah)

2 Tenang dan Tenteram

Melalui perkahwinan, seseorang akan berasa bahagia, aman dan tenteram dengan adanya ikatan kasih dan sayang antara suami isteri. Allah berfirman bermaksud: “Dan antara tanda-tanda membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra bersamanya, dan jadikanlah antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang.” (Ar-Rum: 21)

hikmah-perkahwinan-13 Memelihara Iman

Al-Baihaqi r.a. meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w: “Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka ia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah ia kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.”

Hadis ini menjelaskan, apabila seseorang itu telah berkahwin, maka ia akan terselamat daripada perkara-perkara dosa, terutama yang berkaitan dengan nafsu syahwat.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mampu, hendaklah dia berkahwin kerana dengan demikian dapat menundukkan penglihatan dan dapat memelihara kehormatannya. Dan barang siapa yang tidak mampu berkahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa dapat menghalang keinginan nafsunya.” (Riwayat Ibn Mas’ud)

4 Yakin Rezeki daripada Allah

Dengan berkahwin, akan mengikis kebimbingan tidak mampu memikul tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak disebabkan kemiskinan. Ini selalunya berlaku kepada golongan yang hidup miskin; ada kalanya berasa takut untuk menempuh perkahwinan. Sesungguhnya Allah yang menjamin rezeki setiap hambaNya.

Sabda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang meninggalkan berkahwin kerana takut miskin, maka dia bukanlah daripada golonganku.” (Riwayat Abu Daud)

Rezeki adalah dalam kekuasaan Allah. Manusia hanya perlu berusaha mendapatkan rezeki. Selain bekerja untuk menyara kehidupan, usaha lain yang boleh diamalkan ialah dengan bersolat Dhuha setiap hari, insya Allah akan dikurniakan Allah murah rezeki.

Dari Aisyah r.ha. sabda Nabi s.a.w., “Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta dan boleh menjimatkan harta.” (Riwayat Imam al-Bazzar)

5 Zuriat

Rasulullah s.a.w. amat berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat nanti. Justeru, menerusi perkahwinan akan lahirlah zuriat umat Islam yang beriman dan bertakwa yang akan memakmurkan bumi.

Daripada Ma’qal bin Yasar, bersabda Rasulullah s.a.w.: “Berkahwinlah kamu dengan wanita pengasih dan subur, kerana aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai.” (Riwayat Abu Daud)

6 Disiplin Hidup

Melalui perkahwinan, akan wujud kehidupan teratur dan berdisiplin dalam kehidupan berumah tangga. Akan berlaku rasa tanggungjawab dan pengagihan tugas antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak dan abang/kakak dengan adik-adik.

Perkahwinan akan mewujudkan asas cara hidup yang tersusun dan teratur, seterusnya membawa kepada masyarakat yang demikian juga.

Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana