DALAM bab “Istiqamah”, Imam al-Nawawi memulakan bicara dengan menyebut beberapa ayat al-Quran yang menyuruh kita agar memiliki sifat istiqamah. Apa itu istiqamah?
Berasal daripada perkataan Arab istaqama”, ia bermaksud tetap teguh mengikuti satu jalan atau dengan kata lain, konsisten dalam tindakan berdasarkan satu panduan. Manakala makna istiqamah secara khusus menurut Islam dijelaskan oleh Imam al-Nawawi sendiri dalam kitabnya Riyadhus Solihin dengan katanya: “Berkata para ulama bahawa makna istiqamah adalah sentiasa mengikut ketaatan kepada Allah s.w.t. Itulah istiqamah yang diberikan penekanan oleh al-Quran dan hadis.
Berbalik kepada ayat-ayat yang digunakan oleh Imam al-Nawawi pada pembukaan bab ini, berikut adalah ringkasan makna daripada ayat-ayat tersebut.
Surah Hud, ayat 112: “Maka beristiqamahlah sebagaimana kamu telah diperintahkan.”
Surah Fussilat, ayat 30 hingga 32: “sesungguhnya orang yang telah berkata ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka beristiqamah, akan turunlah malaikat kepada mereka (ketika hampir ajalnya) dengan berkata: ‘Jangan takut dan jangan bersedih dan bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kami pelindungmu di dunia dan akhirat. Dan untuk kamu di syurga itu adalah apa yang kamu inginkan dan untuk kamu apa yang kamu minta. Ia sebagai ganjaran daripada Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang.”
Surah al-Ahqaf, ayat 13 dan 14: “Sesungguhnya orang yang berkata ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka beristiqamah, maka tidak ada ketakutan ke atas mereka dan mereka tidak akan bersedih.” Mereka itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya sebagai balasan di atas apa yang telah mereka lakukan.”
Melihat kepada ayat-ayat yang disebut di atas, kita dapat memahami bahawa istiqamah adalah perkara kedua selepas iman (Tuhan kami ialah Allah). Kita juga dapat melihat dengan jelas bahawa istiqamah adalah perkara yang bersangkut paut dengan amalan agar selaras dengan iman (Tuhan kami ialah Allah). Itulah Islam, agama yang mementingkan iman dan amal secara sepadu dan tidak berpisah. Tiada iman tanpa amal dan tiada amal tanpa iman.
Seterusnya Imam al-Nawawi mengisi bab Istiqamah ini dengan menyebut dua hadis yang mana kedua-duanya adalah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim.
Hadis pertama menceritakan tentang seorang sahabat Nabi s.a.w. yang datang berjumpa Baginda untuk bertanyakan sesuatu. Beliau ingin meminta nasihat daripada Rasulullah s.a.w. tentang Islam dan mengharap agar jawapan Baginda nanti akan menjadi kunci kejayaannya dan panduan hidupnya menuju keredhaan Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w. menjawab dengan jawapan yang amat ringkas dan padat “Katakanlah, Aku beriman kepada Allah”, kemudian beristiqamahlah.” Nasihat ringkas ini amat berharga dan cukup bermakna untuk diri sahabat yang bertanya. Malah nasihat ini juga amat berharga dan tidak ternilai untuk kita umat Islam pada akhir zaman, umat Muhammad s.a.w. Baginda seolah-olah menyebut bahawa untuk kita berjaya di dunia dan akhirat, perteguhkanlah dua tiang utama iaitu iman yang mantap dan amalan yang berterusan serta konsisten.
Hadis kedua pula menceritakan nasihat Baginda s.a.w. yang memfokuskan kepada beberapa perkara. Pertama, al-Muqarabah iaitu beramal dengan amalan yang sederhana dan tidak kurang serta tidak melampaui batas. Kedua, ialah al-Sadaad yang bermaksud benar dan konsisten. Sekali lagi Rasulullah s.a.w. menyuruh kita agar menjaga amalan selaras dengan apa yang diperintahkan oleh Islam. Pertama, pastikan amalan itu benar dan berlandaskan peraturan yang telah ditetapkan. Seterusnya, pastikan amalan itu sentiasa konsisten dan berada di atas landasan yang digariskan.
Namun begitu, Rasulullah s.a.w. tetap memberikan peringatan di hujung hadis kedua ini bahawa kita jangan menganggap bahawa amalan yang kita lakukan itulah semata-mata yang dapat menjamin kebahagiaan di akhirat. Hakikatnya, semua kebaikan yang kita lakukan adalah kerana rahmat dan kurniaan Allah s.w.t. Iman kita, amalan kita, istiqamahnya kita, semuanya adalah di atas rahmat dan limpah kurnia Allah s.w.t.
Oleh itu bersyukurlah, kenanglah kurnia Allah s.w.t. dan berimanlah dengan penuh rasa kasih dan rasa terhutang budi kepada-Nya yang telah memberikan kita dorongan ke arah iman dan amalan. Berterima kasihlah kepada-Nya dengan cara kita menambahkan lagi keimanan dan memperteguhkan lagi amalan. Itulah istiqamah, itulah nikmat dan kurniaan Allah s.w.t.
Ustaz Adlan Abdul Aziz
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.2