Apabila Keberkatan Dicabut

tree-407256_1280

Rasulullah s.a.w. menyebut bahawa salah satu tanda-tanda kecil dekatnya kiamat ialah waktu yang terasa semakin singkat. Hadis mengenai ini cukup banyak, misalnya hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi daripada Abu Hurairah.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak akan tiba hari kiamat hingga waktu semakin singkat. Setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan satu jam. Dan satu jam bagaikan api yang membakar daun kurma.”

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah juga bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Waktu akan semakin singkat, harta melimpah ruah, fitnah akan menyebar, dan banyak terjadi pembunuhan.”

Para ulama tidak mentafsirkan “singkat nya waktu” dengan bertambahnya kecepatan putaran bumi sehingga jumlah masa dalam satu hari berkurang menjadi 23 jam misalnya. Pentafsiran seperti ini tentunya bertentangan dengan logik. Sebab jika kita memutarkan sebiji bola pada titik tertentu, tentulah laju putarannya semakin lama semakin berkurang, bukannya bertambah.

Oleh itu, para ulama hadis seperti Qadi ‘Iyad, al-Nawawi dan Ibn Abi Jamrah mentafsirkan singkatnya waktu ini dengan hilangnya keberkatan. Mereka berkata, “Maksud singkatnya waktu ialah hilangnya keberkatan waktu tersebut. Sehingga satu hari misalnya tidak dapat dimanfaatkan seluruhnya, melainkan cuma beberapa jam saja.

apabila-keberkatan-dicabut-2Pendapat ini dikuatkan oleh Imam Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, katanya, “Pendapat (hadis ini) bermaksud bahawa Allah s.w.t. mencabut semua keberkatan daripada segala sesuatu, termasuk keberkatan waktu. Dan ini merupakan salah satu tanda dekatnya kiamat.”

Apakah Maksud Berkat?

Dari segi bahasa, kata “berkat” (barakah) bermakna bertambah (al-ziyadah) dan berkembang. Kata ini digunakan untuk menunjukkan “kebaikan yang banyak” seperti dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Kitab penuh berkat” dan “Malam penuh berkat”, yakni dipenuhi dengan kebaikan yang banyak.

Rasulullah s.a.w. juga sering kali mendoakan para sahabatnya agar Allah memberkati mereka, seperti doa Baginda untuk Abu Qatadah, “Ya Allah, berkatilah kulit dan rambutnya.” Sejak itu, kulit dan rambut Abu Qatadah tidak pernah beruban meskipun usianya bertambah. Al-Hafiz Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq bercerita bahawa Abu Qatadah wafat pada usia 70 tahun namun kulit dan rambutnya seperti remaja berusia 17 tahun.

Kita boleh membuat kesimpulan bahawa keberkatan dalam sesuatu bermakna kualiti sesuatu itu berkembang sehingga melampaui kuantitinya. Jika sebelum makan kita meminta Allah memberkati makanan kita, bermakna kita meminta agar makanan itu bermanfaat untuk kesihatan tubuh dan ibadah kita. Kuantiti, bentuk dan rasa makan itu mungkin tidak berubah, namun kesan positif yang diakibatkannya akan segera dirasakan oleh orang yang memakannya. Tubuhnya semakin kuat dan terhindar daripada penyakit, jiwanya terasa lebih ringan untuk melakukan perkara yang bermanfaat bagi dunia dan akhiratnya.

Tidak dinafikan bahawa Allah juga boleh memberikan keberkatan kepada makanan dengan membanyakkan jumlah atau kuantiti bersama kualiti makanan tersebut, sebagai mukjizat (untuk nabi) atau karamah (untuk hamba-Nya yang soleh). Hadis-hadis tentang hal ini sangat banyak dan masyhur sehingga tidak perlu disebutkan lagi pada kesempatan ini.

Keberkatan Waktu

Keberkatan yang paling penting ialah keberkatan dalam hidup dan keberkatan dalam waktu kita. Yakinilah, kita diciptakan untuk suatu tugas maha penting, dan waktu ialah modal yang penting untuk dapat menunaikan tugas tersebut dengan baik.

Tanpa keberkatan dan pengurusan waktu yang baik, kita tidak akan dapat menunaikan tugas tersebut dengan sempurna. Oleh sebab itu, bagi hamba-hamba Allah yang sejati, waktu jauh lebih mahal dan lebih berharga daripada wang dan harta benda apa pun di dunia ini.

Keberkatan waktu dan rezeki hanya datang melalui kekuatan iman dan tunduknya perintah dan larangan. Dalilnya firman Allah Taala yang bermaksud: “Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan limpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi.” (Surah al-A’raf 7: 96)

Imam Abu Bakar bin ‘Ayasy berkata: “Andai kata seseorang kehilangan sekeping emas, ia akan menyesal dan memikirkannya sepanjang hari. Ia mengeluh, “Inna lillah wa inna ilaihi raji‘un, emas saya hilang.” Namun belum pernah kita mendengar seseorang mengeluh: “Sehari telah berlalu, namun apa yang aku lakukan sepanjang tempoh itu?”

Hamba-hamba Allah ini selalu menyesal jika satu detik daripada waktunya berlalu tanpa manfaat. Seorang ahli hadis, Abu Bakar al-Khatib al-Baghdadi, sering kali dilihat membaca sambil berjalan, lantaran dia tidak ingin membuang waktunya. Imam Ibn Rusyd, ahli fiqah dan filsafat terkenal, juga diceritakan tidak pernah meninggalkan membaca buku dan mengajar sepanjang hidupnya kecuali dua malam sahaja; iaitu waktu dia menikah dan ketika bapanya meninggal dunia.

Imam Abdul Wahab al-Sya’rani bercerita tentang gurunya Syeikh Zakaria al-Ash‘ari (pelajar fiqah mazhab al-Syafi’i pasti mengenal nama ini), “Selama dua puluh tahun aku melayaninya, belum pernah aku melihat beliau dalam kelalaian atau melakukan sesuatu yang tidak berfaedah; baik waktu siang ataupun malam. Jika seorang tamu berbicara terlalu panjang kepadanya, beliau segera berkata dengan tegas: ‘Kau telah membuang-buang waktuku.’”

Keberkatan waktu dapat kita lihat dalam sejarah hidup tokoh-tokoh Islam dan para sahabat. Mereka berjaya melahirkan prestasi besar hanya dalam masa yang sangat singkat sehingga sering kali sukar diterima logik “zaman hilang-berkat” kita ini. Zaid bin Thabit, misalnya, berjaya melaksanakan perintah Nabi s.a.w. untuk menguasai bahasa Yahudi (Suryaniah), percakapan dan tulisan, hanya selama 17 hari saja. Walhal pada waktu itu belum ada alat bantu audio visual moden seperti sekarang. Bandingkan dengan diri kita yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk mempelajari bahasa Arab atau Inggeris.

Para penulis biografi menceritakan bahawa al-Hafiz Ibn Syahin (seorang ulama hadis) menulis 330 judul buku, antaranya sebuah kitab tafsir al-Quran setebal seribu halaman. Sebahagian ulama meriwayatkan bahawa Syeikh Abdul Ghaffar al-Qushi menulis sebuah kitab fiqah dalam mazhab Syafi’i setebal seribu jilid di kota Akhmim.

Begitu juga, Imam Ibn al-Arabi (ahli hadis dan fiqah mazhab Maliki) Berjaya menghasilkan pelbagai buku besar dan penting, salah satu antaranya sebuah tafsir setebal 80 ribu halaman. Imam Jalaluddin al-Suyuti berkata bahawa pemimpin Ahli Sunah Waljamaah Syeikh Abu Hasan al-Asya‘ari pernah menulis sebuah tafsir sebanyak 600 jilid. Al-Suyuti berkata, “Kini buku itu masih berada di perpustakaan al-Nizamiah di Baghdad.”

Keberkatan Waktu

Belum lagi disebut Imam al-Ghazali yang hidup hanya 55 tahun, dan Imam al-Nawawi yang hidup hanya 45 tahun, namun berjaya menulis banyak buku berharga yang kebanyakannya tebalnya berjilid-jilid. Orang yang pernah menulis buku pasti tahu betapa besar keberkatan yang Allah berikan kepada waktu para ulama ini.

Sebagai manusia biasa, mereka memiliki waktu yang sama dengan kita; sebulan terdiri daripada empat minggu, seminggu terdiri daripada tujuh hari, dan sehari terdiri daripada 24 jam. Namun keberkatan dalam waktu memungkinkan mereka berkarya dan membuahkan hasil lebih banyak daripada kita. Keberkatan waktu benar-benar kita rasakan telah hilang pada masa kini.

Keluhan Orang Kafir di Akhirat

Kehilangan berkat dalam waktu adalah antara keluhan utama orang kafir di akhirat. Al-Quran menceritakan bahawa ketika kiamat, manusia merasa bahawa hidup mereka di dunia begitu singkat. Sebahagian mereka berasa hidup di dunia hanya sepuluh hari (Surah Taha 20: 103)

Yang lain pula berasa cuma sehari atau setengah hari saja, “Allah bertanya: ‘Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?’ Mereka menjawab: ‘Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari.’” (Surah al- Mukminun 23: 112-113)

Malah ada juga yang berkata bahawa masa hidup mereka di dunia hanya beberapa jam saja. Allah berfirman yang bermaksud: “Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka berasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) pada waktu petang atau pagi hari.” (Surah al-Nazi‘at 79: 46)

Allah juga berfirman yang bermaksud: “Dan pada hari terjadinya kiamat, bersumpahlah orang yang berdosa; mereka tidak berdiam (di dunia) melainkan sesaat (saja).” (Surah al-Rum 30: 55)

Sayid Qutb menulis, “Orang yang hendak memikirkan hikmah Allah dan kesempurnaan agama ini dapat melihat kebenaran firman Allah ini lebih jelas daripada orang yang mendengar firman ini pertama kali. Realiti dunia di depan matanya membenarkan setiap kalimat daripada ucapan ini. Berbagai-bagai bangsa yang sesat dan memakan riba tertimpa berbagai-bagai musibah yang membinasakan sistem etika, agama, kesihatan dan ekonomi mereka.”

Sikap Kita

Jika kita menyedari bahawa keberkatan telah hilang, maka sungguh rugi jika kita membuang-buang waktu yang memang sudah sedikit itu. Sebaliknya, kita harus bertekad menggunakan waktu ini dengan baik untuk meningkatkan prestasi di dunia dan mengumpulkan bekal hidup di akhirat.

Abu Hazim Salamah bin Dinar berkata, “Segala sesuatu yang ingin kau bawa ke akhirat, siapkanlah dari sekarang. Dan sesuatu yang tidak ingin kau bawa, tinggalkanlah dari sekarang.”

Apa lagi Rasulullah s.a.w. memberitakan bahawa kondisi ini akan bertambah buruk pada masa akan datang. Baginda bersabda sebagaimana diriwayatkan al-Bukhari daripada Anas bin Malik, “Tidaklah datang kepadamu suatu zaman, melainkan zaman yang setelahnya lebih buruk daripada itu, hingga kamu berjumpa dengan Tuhanmu.”

Baginda juga bersabda yang bermaksud: “Cepatlah kamu beramal sebelum datang berbagai-bagai fitnah seperti kegelapan malam. Pada waktu itu, seorang beriman pada pagi hari dan kafir pada petang harinya. Ia beriman pada petang hari tetapi kafir pada pagi harinya. Ia menjual agamanya demi sedikit harta dunia.” (Riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim daripada Abu Hurairah).

Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5