Keadaan Mayat Setelah Dikuburkan

1024 x768kiamat

Dalam sebuah hadis menerusi Sahih Ibn Hibban No.777 dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya apabila mayat telah dikuburkan, dia mendengar bunyi tapak kaki orang yang menyelenggarakannya, ketika kembali dari tempat pengebumian. Jika dia seorang Mukmin, maka ibadah solat akan berada di kepalanya, puasa berada di samping kanannya, zakat di sebelah kirinya, sementara seluruh perbuatan baiknya seperti sedekah, silaturrahim, amalan yang makruf dan perlakuan ihsannya kepada manusia berada di kedua kakinya.

Lantas ia datang dari arah kepalanya, sehingga amalan solat berkata: “Tidak ada tempat dari arahku (untuk mengganggu orang ini). Dia juga didatangi dari sebelah kanan sehingga amalan puasanya berkata: “Tidak ada tempat dari arahku (untuk mengganggu orang ini). Ia kembali didatangi dari arah kiri, sehingga amalan zakatnya berkata: “Tidak ada tempat dari arahku (untuk mengganggu orang ini).”

Kemudian ia didatangi dari arah kedua kakinya, sehingga segala perbuatan yang baik, seperti sedekah, silaturahim amalan yang makruf dan perlakuan kepada manusia berkata: “Tidak ada tempat dari arahku (untuk mengganggu orang ini).” Kemudian dikatakan kepadanya: “Duduklah dengan tenang!” Orang Mukmin itu duduk dan ia diibaratkan seperti matahari yang tenggelam. Para malaikat bertanya kepadanya: “Apa yang telah kamu katakan tentang lelaki yang diutus kepada kalian (yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad)? Apa yang engkau persaksikan atasnya?”

Orang Mukmin itu menjawab: “Berilah aku kesempatan untuk mengerjakan solat terlebih dahulu.” Dikatakan kepadanya: “Engkau boleh mengerjakan, tetapi jawablah terlebih dahulu pertanyaan yang kami ajukan kepadamu: “Apa pendapatmu tentang seorang lelaki yang berada di tengah-tengahmu? Apa yang kamu persaksikan atasnya?”

Orang Mukmin itu menjawab: “Lelaki itu adalah Muhammad, aku bersaksi bahawa dia itu Rasulullah s.a.w. Dia telah datang kepada kami dengan membawa kebenaran dari Allah s.w.t.” Dikatakan kepadanya: “Ya, kamu benar, kamu telah hidup berdasarkan keyakinan ini. kamu mati juga dengan keyakinan ini dan akan dibangkitkan juga berdasarkan keyakinan ini insya-Allah.”

Lantas dibukakan untuknya salah satu dari beberapa pintu syurga, kemudian dikatakan kepadanya: “Inilah tempat tinggalmu dan segala isinya yang telah dipersiapkan Allah untukmu.” Maka dia merasa lebih bahagia dan gembira. Kemudian dibukakan untuknya salah satu daripada beberapa pintu neraka, sambil dikatakan: “Inilah tempat tinggalmu dengan segala isinya telah dipersiapkan Allah jika kamu berbuat maksiat kepadanya.” Dia semakin merasa gembira dan bahagia (kerana tidak termasuk golongan ahli maksiat). Kemudian kuburnya dilapangkan sepanjang 70 hasta, diberikan nur penerang dan jasadnya dikembalikan seperti semula,dan rohnya diletakkan ke dalam burung yang bertenggek di atas pohon dalam syurga.

Itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah s.w.t. menerusi surah Ibrahim ayat ke 27 yang bermaksud: “Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang teguh, dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.”

Namun apabila orang tersebut kafir, maka ia akan didatangi di kuburnya dari arah kepalanya dan ia tidak menemui suatu kebaikan pun (yang boleh melindunginya). Kemudian didatangi dari sebelah kanannya, dan ia tidak menemui kebaikan apa pun(yang dapat melindunginya). Lalu didatangi dari bahagian kedua kakinya, ia juga tidak menemui kebaikan apa pun.

Lantas dikatakan kepadanya: “Duduklah.” Kemudian ia duduk dengan perasaan takut dan gelisah. Lalu ditanyakan kepadanya: “Apa yang dulu kami katakan tentang lelaki yang berada di tengah-tengahmu ini?”

Ia tidak dapat memberikan sebarang jawapan tentang nama lelaki itu (iaitu Nabi Muhammad s.a.w.). Dia hanya mampu menjawab: “Aku tidak tahu, memang aku dulu mendengar orang-orang telah mengatakan sesuatu, sehingga aku juga mengatakan apa yang mereka katakan.” Lalu dikatakan kepadanya: “Berdasarkan keraguan inilah kamu telah menjalani hidup, dan berdasarkan (keraguan) inilah kamu mati, serta berdasarkan (keraguan) inilah kamu akan di bangkitkan (dari kubur) insya-Allah.”

Kemudian dibukakan untuknya salah satu pintu dari pintu neraka, dan dikatakan kepadanya,
“Inilah tempat tinggalmu dan segala isinya yang telah dipersiapkan Allah untukmu.” Dan ia merasa begitu rugi dan menyesal. Kemudian dibukakan untuknya salah satu dari beberapa pintu syurga, sambil dikatakan: “Inilah tempat tinggalmu di syurga jika kamu taat kepada Allah.” Maka ia menjadi semakin rugi dan menyesal (kerana tidak termasuk sebagai orang yang taat).

Kemudian disempitkan kuburnya hingga tulang-tulang rusuknya saling bertindih dan menjadi remuk. Itulah kehidupan sempit sebagaimana yang dimaksudkan dalam firman Allah s.w.t. menerusi surah Taha ayat 124 yang bermaksud:

“Dan sesiapa berpaling daripada peringatan- Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan Yang sempit, dan Kami himpunkan pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

Pengajaran

  1.  Pintu syurga akan dibuka untuk orang Mukmin dan soleh.
  2. Pintu neraka akan dibuka kepada orang kafir dan ahli maksiat.
  3. Nikmat akan dikurniakan kepada orang yang beriman dan azab akan diberikan kepada ahli maksiat.
  4. Amalan yang dilakukan oleh manusia di dunia akan menentukan tempat yang sesuai untuk mereka di akhirat sama ada syurga atau neraka.
  5. Bagi seseorang Mukmin setiap ibadah yang dikerjakan sepanjang hidupnya dengan ikhlas kerana Allah, maka ibadah itu akan melindunginya.

 

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8