ANAK ialah anugerah Allah s.w.t. yang berharga di dunia ini. Ramai dalam kalangan pasangan yang berkahwin menanti saat bahagia seperti ini, iaitu saat menimang cahaya mata. Apabila si anak lahir, Islam menganjurkan si bapa melakukan banyak perkara sunah.
Selain melakukan azan di telinga bayi, memberi nama yang baik, melakukan akikah, mencukur rambut bayi kemudian bersedekah mengeluarkan emas atau nilainya dengan kadar timbangan rambut tersebut, terdapat satu amalan yang juga disunatkan yang ingin penulis kongsi bersama dalam ruangan kali ini. Amalan tersebut ialah amalan tahnik.
Apakah dia tahnik? Mungkin tidak ramai yang mengetahui maksud tahnik dan bagaimana hendak melakukan tahnik. Dalam istilah orang kampung negeri kelahiran penulis, biasanya dipanggil amalan “belah mulut”. Agak menarik bunyinya, mungkin dek kerana ia amalan pertama dilakukan pada mulut bayi selepas dilahirkan. Ketika zaman kanak-kanak dahulu, penulis menyangka amalan “belah mulut” bermotifkan untuk membantu si bayi mudah bercakap apabila meningkat dewasa dari setahun ke setahun. Ini fahaman kanak-kanak daripada istilah “belah mulut”. Kata orang, ada apa pada nama, maka apa pun namanya, ia merupakan satu perkara yang sangat dituntut. Istilah yang tepat dalam Islam ialah tahnik. Tahnik dari segi bahasa ialah lelangit di dalam mulut. (Kamus Idris al-Marbawi: 153).
Pakar bahasa Arab menyebut maksud amalan tahnik ialah perbuatan mengunyah buah tamar atau seumpamanya lantas digosok tamar tersebut pada lelangit mulut bayi. (Al-Nawawi, Sharh Sahih Muslim 1/462). Ia merupakan sunah Nabi yang perlu dilakukan oleh seseorang terhadap bayinya. Amat mudah caranya, namun mungkin ada segelintir masyarakat kita terlupa melakukannya kepada bayi mereka. Para ulama bersepakat mengatakan tahnik sunat dilakukan. Apa maksud sunat? Maksudnya, sesiapa yang melakukannya, maka baginya pahala, sebaliknya sesiapa yang tidak melakukannya, ia tidak berdosa. Ia seperti juga hukum akikah, ia adalah sunah bukan wajib.
Afdal dengan Tamar
Tahnik afdal dilakukan dengan buah tamar (kurma). Jika tiada tamar, boleh gunakan rutab (tamar muda). Jika tiada juga, boleh gunakan sesuatu makanan yang manis seperti madu. Ulama berpendapat madu yang manis lebih awal daripada makanan lain. Dan jangan menggunakan makanan yang telah dimasak seperti daging yang digoreng. Seeloknya, dibukakan sedikit mulut bayi supaya ia boleh menelan isi buah tamar tersebut.
Tujuan tahnik mengikut ulama adalah untuk melatih bayi makan dan menguatkannya. (Ibn Hajar, Fath al-Bari jil. 15, hlm. 390) Anas bin Malik menceritakan: “Aku telah membawa Abdullah bin Abi Talhah ketika beliau dilahirkan kepada Rasulullah s.a.w. ketika Baginda memakai jubah (aba’ah) sambil menginai untanya. Lantas Baginda bertanya: ‘Adakah kamu mempunyai buah tamar?’ Aku menjawab, ‘Ya.’ Lalu aku menghulurkan beberapa biji buah tamar, dan Rasulullah s.a.w. memasukkan ke dalam mulutnya.
Lalu Baginda mengunyahnya kemudian membuka mulut Baginda dan mengeluarkan semula tamar yang dikunyah dan diletakkan ke mulut bayi itu. Lantaran itu bayi tersebut menggerakkan lidahnya menghisap tamar tersebut. Kemudian Baginda menyebut: ‘Yang disukai orang Ansar ialah tamar dan namakannya dengan nama Abdullah’.” (Hadis riwayat Muslim, lihat Syarh Sahih Muslim, jil. 7 hlm. 269) Hadis ini menunjukkan sunah tahnik bayi yang baru dilahirkan dan hukumnya sunat sebagaimana ijmak ulama. Ia juga menunjukkan afdal melakukan tahnik dengan buah tamar.
Bilakah sunat dilakukan tahnik?
Adakah sebaik sahaja kelahiran atau perlu menunggu hari ketujuh? Al-Bukhari menukilkan satu bab khusus dalam kitab sahihnya iaitu “Bab menamakan bayi dan mentahniknya pada petang kelahirannya sekalipun belum dilakukan akikah.” (Ibn Hajar, Fath al-Bari, jil. 15 hlm. 390) Bermakna sekiranya bayi tersebut lahir pada pertengahan siang hari, tahnik boleh dilakukan selepas waktu tengah hari pada hari kelahirannya. Ini yang dapat difahami melalui Fiqah al-Bukhari. Dalam kitab al-Majmu’, bahawa sunah melakukan tahnik dengan tamar kepada bayi ketika dilahirkan. Maksudnya hari kelahiran. Bahkan tujuan atau hikmah tahnik sebagaimana disebut ulama adalah bertujuan untuk melatih bayi makan atau minum. Oleh itu, ia perlu disegerakan pada hari kelahirannya dan tidak perlu ditangguh sehingga hari ketujuh sebagaimana yang biasa dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu.
Keberkatan
Dalam negara kita, kebiasaannya orang awam suka meminta tolong para ustaz atau alim ulama melakukan tahnik kepada anaknya. Mungkin dengan memahami ini adalah satu sunah atau mungkin kerana mereka inginkan keberkatan ustaz tersebut. Suka dikemukakan di sini, bahawa para sahabat membawa anak mereka berjumpa rasulullah s.a.w. dan rasulullah melakukan tahnik kepada bayi tersebut adalah suatu perkara yang mulia. Ini kerana Rasulullah s.a.w. mempunyai keberkatan pada diri atau zat Baginda. Manakala selain daripada Rasulullah s.a.w., berlaku khilaf dalam kalangan ulama. Tidak kurang ramai ulama yang lebih cenderung kepada keberkatan zat hanya ada pada para nabi dan rasul a.s.
Ya, ada nas-nas daripada al-Quran dan sunah yang juga menunjukkan bahawa wujud benda-benda yang diturunkan keberkatan oleh Allah padanya. Sama ada tempat, masa atau daripada kalangan manusia. Menurut ulama, berkat yang dijadikan oleh Allah ada dua bahagian iaitu berkat pada tempat atau masa. Seperti Allah Taala memberkati Baitulharam dan memberkati kawasan sekeliling Masjid al-Aqsa. Maksud berkat di sini adalah dari segi makna dalaman, iaitu ada kebaikan yang banyak dan berkekalan di dalamnya. Dengan kata lain, keberkatannya adalah untuk tujuan beribadat padanya.
Begitu juga keberkatan pada masa atau waktu. Allah memberkati bulan Ramadan dengan makna sesiapa yang melaksanakan ibadat setulusnya dalam bulan ini, nescaya akan mencapai kebaikan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Kedua, berkat pada manusia. Iaitu berkat yang dijadikan Allah pada diri orang Mukmin. Dimulai oleh berkat pada diri Rasulullah s.a.w. dan para nabi serta rasulrasul a.s. Berkat mereka adalah berkat pada zat, iaitu jasad dan tubuh mereka.
Manakala selain daripada mereka, keberkatan orang yang beriman bukan pada zat mereka. Berkat pada mereka merujuk kepada berkat amalan, keimanan, ilmu dan dakwah mereka. Dalam masalah tahnik, seeloknya bapa, ibu atau ahli keluarga terdekat yang lain seperti datuk atau nenek kepada bayi itu sendiri yang melakukan tahnik. Adapun jika ingin juga meminta para ustaz atau ulama melakukan tahnik kepada bayinya, janganlah sampai menganggap kerana zat air liur atau tangan ustaz tersebut boleh membawa berkat kepada anaknya.
Terdapat segolongan ulama yang mengatakan sunat diminta kepada orang alim atau orang soleh melakukan tahnik untuk anak kita (lihat Syarh Sahih Muslim jil.1 hlm. 462), manakala sebahagian yang lain menolaknya. Antara ulama yang mengharuskan perbuatan tersebut, Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis Anas bin Malik di atas menyebut beberapa pengajaran hadis tersebut.
Antaranya beliau menggariskan sunat dilakukan tahnik oleh orang soleh lelaki atau wanita dan boleh tabarruk dengan kesan-kesan orang soleh. (Syarh Sahih Muslim jil. 7, hlm. 269) Walau bagaimanapun, jika dilihat hadis-hadis atau athar para sahabat, selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. tiada pula diriwayatkan mengisahkan orang ramai berjumpa para sahabat besar seperti Abu Bakar, Umar dan lain-lain untuk meminta mereka melakukan tahnik kepada bayi-bayi yang baru dilahirkan. Begitu juga, tidak terdapat sebarang riwayat yang menyatakan bahawa sunat tahnik itu dilakukan sendiri oleh ibu bapa si bayi.
Jika ada yang mahu meminta para ustaz yang melakukan tahnik bagi bayinya, anggaplah keberkatan doa ustaz tersebut untuk bayinya dan juga keberkatan kehadiran ramai tetamu sebagai mengeratkan silaturahim di samping meraikan kelahiran anak itu. Mudah-mudahan doa mereka diterima di sisi Allah Taala.
Himah Tahnik
Bahkan daripada sudut maqasid atau objektif pensyariatan tahnik, ia bertujuan memberi latihan awal kepada bayi agar mampu menelan makanan dan minuman. Daripada sudut saintifik pula, amalan tahnik ini mempunyai faedah kesihatan. Seorang pakar mukjizat saintifik, Dr. Muhammad Ali al-Bar menegaskan bahawa kajian sains hari ini membuktikan wujudnya manfaat kesihatan dalam amalan tahnik untuk perkembangan tubuh badan bayi.
Hadis-hadis meriwayatkan penggunaan buah tamar atau manisan dalam tahnik sebenarnya ada hikmahnya. Setiap bayi yang baru lahir boleh terdedah kepada kematian oleh dua faktor utama. Pertama, kekurangan gula (glukosa) dalam darah dan kedua, penurunan suhu badan apabila terkena cuaca sejuk di sekelilingnya. Tahap glukosa dalam darah boleh berkurangan jika berat bayi berkurangan.
Kanak-kanak yang dilahirkan dengan berat yang sangat ringan (kurang 2.5kg), dianggap mempunyai tahap glukosa yang sangat rendah, biasanya kurang daripada 20mg bagi setiap 100ml darah. Manakala bayi yang lebih 2.5kg biasanya, dianggarkan mempunyai lebih 30mg glukosa. Keadaan penurunan tahap glukosa dalam darah membawa bahaya kepada bayi. Sekiranya tidak diatasi, ia boleh membawa kematian. Rawatannya mudah, iaitu hanya menyediakan glukosa yang dilarut dalam air dan memberinya minum air, sama ada melalui mulut atau urat saraf.
Tanpa kita sedari, inilah yang dikatakan salah satu peranan amalan tahnik. Ia sebagai pencegahan daripada kekurangan glukosa dalam darah bayi. Tamar yang digunakan dalam amalan tahnik mengandungi glukosa yang banyak terutama selepas dicairkan melalui air liur.
Buah tamar sendiri mengandungi khasiat yang banyak. Ia mengandungi 60-70% gula asli di dalam bentuk glukosa dan fruktosa yang mudah diserap oleh badan. Justeru, ini membuktikan pensyariatan tahnik mengandungi hikmah dan objektif yang baik untuk kesihatan manusia. Selain itu, berkaitan melakukan tahnik dengan menggunakan air zamzam. Hadis cuma meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. hanya mengunyah buah tamar apabila melakukan tahnik.
Apakah terdapat dalil yang mengharuskan kita menggunakan air zamzam ketika tahnik? Dalam kitab Akhbar Makkah karangan al-Fakihi, beliau membawa satu athar yang mursal daripada Ata’ bahawa Habib berkata kepada Ata’, “Aku perlu membawa air zamzam?” Jawab Ata’, “Ya, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. membawa air zamzam dalam botol lalu mentahnikkan Hasan dan Husain dengannya menggunakan tamar ajwah.” (Al-Fakihi, Akhbar Makkah 3/198) Walaupun hadis ini mursal, namun ia disokong oleh dalil umum yang menjelaskan kewajaran mengambil berkat dengan air zam zam, atau berubat dengannya. Maka tidak menjadi kesalahan menggunakan air zam zam untuk melakukan tahnik.
Inilah beberapa perkara penting yang perlu diketahui berkaitan sunah tahnik. Mudah-mudahan sunah yang kita lakukan dengan niat ikhlas mendapat manfaat duniawi dan ukhrawi iaitu ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t
Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.4